Shalom.
Ni post pertama menggunakan Bahasa Kebangsaan. Yayyy me! Ooops. Haha. So, bagi yang menjumpai kesukaran untuk mencari contoh refleksi dalam Bahasa Kebangsaan, dipersilakan merujuk kalau sudi. Esei ni jauh dari tahap nak layak sebagai sumber rujukan yang boleh di'cite' (apa 'cite' dalam BM ho?) seperti dalam buku-buku tetapi memadai la sebagai bahan bacaan ye tak. hahaha.
Sejuta kesyukuran saya panjatkan kepada Tuhan kerana dengan limpah
kurniaNya saya telah berjaya menyiapkan tugasan Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan
Seni Visual, Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (PSV 3105) bagi semester keempat
Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP). Jutaan terima kasih juga saya
ucapkan buat Encik Hasnan bin Rambli selaku guru pembimbing yang sentiasa
berada di sisi kami sekelas dengan penuh tekun dan minat sepanjang menghasilkan
kerja kursus projek PSV kali ini.
Sesungguhnya, dengan tunjuk ajar Encik Hasnan serta ahli kumpulan saya
iaitu Yanson Yanjurus dan Flora Umang anak Endang, saya yang dahulunya
sememangnya buta seni kini telah dapat menghasilkan karya seni yang boleh saya
banggakan di samping menghargai keindahan seni yang terdapat dalam kehidupan.
Pengalaman merasai sendiri perasaan tersebut seterusnya mengaplikasikannya
dalam kehidupan merupakan sesuatu yang tidak ternilai harganya memandangkan
apabila pergi ke sekolah kelak, inilah nilai yang mahu saya patrikan dalam diri
anak-anak murid saya. Sekiranya saya sendiri tidak menghargai seni, bagaimana
saya hendak mengajar murid-murid akan betapa penting dan indahnya seni dalam
kehidupan?
Dari awal penghasilan tugas lagi, sebenarnya saya mengalami masalah besar
dalam menghasilkan kerja-kerja yang melibatkan mewarna dalam kajian warna.
Antara kelemahan terbesar saya adalah tidak sabar menyiapkan tugasan
terutamanya dalam bidang yang kurang saya minat. Oleh yang demikian, hasil
kerja saya kelihatan kurang kemas dan kurang cantik dipandang mata. Benarlah
menurut teori Kecerdasan Pelbagai (Gardner, 1983) yang menerangkan bahawa
manusia mempunyai kecerdasan dominan, kombinasi kecerdasan yang pelbagai dan
juga kecerdasan yang paling lemah. Dalam hal ini, saya sedar bahawa kecerdasan
visual-spatial saya sangatlah lemah. Tidak hairanlah setiap kali di kelas, saya
sentiasa menjadi orang terakhir yang menyiapkan tugasan. Meskipun saya cuba
memperbaiki diri sendiri dengan lebih tekun dan teliti ketika mewarna, masih
juga hasil kerja saya kelihatan biasa-biasa saja. Walaubagaimanapun, seni itu
abstrak. Jadi, meskipun hasil kerja saya kurang elok, namun itulah hasil karya
saya sendiri yang saya hasilkan dengan penuh susah-payah. Maka, meskipun saya
tidak menyukai karya yang saya hasilkan, sekurang-kurangnya saya masih
berbangga dengan usaha yang telah saya curahkan.
Seterusnya, ketika menghasilkan penulisan tentang warna untuk Bab 1
tugasan, antara kesukaran utama yang dihadapi ialah untuk mencari bahan rujukan
terutamanya buku-buku mengenai topik yang berkenaan. Meskipun begitu, dengan
bimbingan yang teliti daripada Encik Hasnan, saya dapat mengeksplorasi sendiri
apakah yang dikatakan dengan jenis-jenis warna, ton warna, gubahan warna
(sewarna, kroma, neutral) dan warna-warna harmoni. Hanya sedikit rujukan yang
benar-benar diperlukan dalam penghasilan penulisan ini terutamanya yang
berkaitan dengan kesan warna atau psikologi warna. Tambahan pula, memandangkan
maklumat yang diperlukan berbentuk fakta, sumber internet boleh
dieksploitasikan dengan sewajarnya bagi tugasan ini.
Selain daripada itu, tugasan dalam Bab 2 dapat saya siapkan tanpa aral
melintang. Gambar-gambar yang saya perolehi merupakan ihsan Google Images dan
juga perkongsian daripada rakan sekelas. Di sini, saya ingin melahirkan rasa
bangga dan berterima kasih kepada rakan sekelas yang sudi berkongsi
gambar-gambar yang mereka perolehi supaya beban tugas masing-masing dapat
diringankan. Antara rakan sekelas yang sangat membantu dengan gambar tersebut
adalah Ken Liew Chee Keng dengan koleksi gambar karya Wassili-Kandinsky dan
Yanson Yanjurus dengan koleksi gambar motif-motif dari Sarawak. Saya pula telah
berkongsi koleksi gambar sumber yang berkaitan dengan warna, warna-warni
Sarawak dan juga motif-motif ukiran Sarawak juga. Saya berharap dengan
menyumbang sedikit sebanyak sebegini, rakan sekelas saya mampu menyelesaikan
tugas mereka dengan lebih cepat; sama seperti mereka telah membantu saya.
Setelah melalui peringkat mencari sumber idea dan mengkaji corak-corak
yang terdapat dalam etnik-etnik di Sarawak, saya mengusulkan agar kami memilih
corak terabai Iban atau warrior shield
sebagai sumber motif utama hasil karya kami. Cadangan ini diterima baik oleh
ahli kumpulan saya. Hal ini kerana setelah melalui sesi perbincangan dan
sedikit penyelidikan, kami dapat menyedari perkaitan antara konsep terabai dan
bidang perguruan. Umum mengetahui bahawa pada zaman lampau, kaum Iban merupakan
kaum yang sering berperang yang dikatakan sebagai ngayau dalam bahasa Iban. Oleh yang demikian, terabai merupakan
salah satu alatan perang yang perlu dimiliki oleh setiap pahlawan. Ciri utama
terabai Iban ialah ukirannya yang bersimetri kiri dan kanan diwarnai dengan
warna-warna yang biasa digunakan dalam pembuatan kraftangan tradisional di
Sarawak seperti kuning, hitam dan merah. Dipercayai kerana kaum Iban pada
asalnya menganut animisme, maka ukiran yang paling terkenal ialah antu engkeramba yang dikatakan dapat
memberikan perlindungan kepada tuannya di samping dapat menolong dalam
peperangan pada suatu ketika dahulu. Ukiran tersebut mempunyai pantang-larang
serta tidak boleh diukir sesuka hati. Maka, kami telah mengadaptasi ukiran
tersebut ke ukiran yang lebih kontemporari. Apabila kami melihat terabai dari
sudut bidang pendidikan, kami merasakan bahawa hidup sebagai seorang guru sama
seperti seorang pahlawan Iban yang berperang. Lebih daripada itu, seorang guru
berperang setiap hari di bilik kelas, padang permainan, asrama dan di rumah
juga apabila beban kerja yang banyak harus disiapkan segera. Seorang guru berperang
melawan rasa letih, malas, dan berputus asa demi kesejahteraan tonggak negara
pada masa hadapan yakni murid-murid tersayang. Dalam melalui hari-hari sebagai
seorang pendidik, guru memerlukan pegangan agama yang kukuh di mana beliau
harus percaya akan kewujudan Tuhan yang sentiasa menjaga dan melindunginya
sesuai dengan prinsip Rukun Negara. Pegangan inilah yang seumpama terabai dalam
kehidupan kita sebagai seorang guru di mana walau apa pun terjadi, kita percaya
bahawa Tuhan lebih Mengetahui dan Mengerti dan Dia sentiasa ada.
Ya, idea yang kami fikirkan merupakan idea yang bernas dan unik. Namun
begitu, masalah mulai timbul apabila tiba masa untuk merealisasikan idea
tersebut ke atas kanvas. Meskipun kami melukis dengan merujuk kepada ukiran
yang sedia ada di Google Images, ukiran tersebut kami dapati sangatlah rumit
untuk dilukis. Ketika pertemuan pertama kami untuk melukis ukiran di kanvas,
kami buntu seketika kerana tidak tahu dari mana kami hendak mula. Rentetan itu,
kami pun berbincang dan akhirnya dengan kaedah cuba jaya dan pengubahsaian di
mana yang sesuai, ukiran tersebut berjaya juga terpampang di kanvas. Encik
Hasnan dengan baik hatinya telah membantu memperhalusi lukisan kami sehingga
dapat diterima untuk meneruskan proses selanjutnya. Memandangkan kami telah
memilih untuk menggunakan motif ukiran kontemporari, kami bertiga telah sebulat
suara juga untuk menggunakan warna-warna kontemporari dalam hasil karya kami.
Contohnya, warna-warna pastel, lembut dan tidak terlalu garang. Kami juga telah
mendapatkan nasihat Encik Hasnan tentang warna yang patut digunakan dan
nampaknya beliau juga sependapat dengan kami meskipun kami tidak memberitahu
beliau rancangan kami. Beliau mengatakan bahawa untuk kumpulan kami, adalah digalakkan
untuk menambahkan warna putih ke warna-warna yang digunakan supaya mendapat
kesan yang berlainan daripada kumpulan lain.
Proses mewarna merupakan proses yang paling sukar bagi saya secara
peribadi memandangkan saya memang sangat kurang berbakat dalam bidang seni
visual seperti yang telah saya utarakan di atas. Beberapa kali ahli kumpulan
saya menegur agar mewarna dengan lebih berhati-hati apabila mereka melihat
kanvas menjadi comot dek kerana perbuatan saya hingga pernah suatu ketika saya
hampir berputus asa dan membiarkan mereka sahaja yang mewarna. Namun begitu,
menyerah kalah bukanlah pegangan saya. Saya turut terus membantu rakan
sekumpulan mewarna; kali ini dengan lebih berhati-hati dan cermat demi menjaga
hati mereka dan supaya hasil kerja kami kemas dan cantik dipandang. Meskipun
sedemikian, dalam menjalani proses ini, saya telah menemui suatu kemahiran saya
yang saya kira adalah suatu kelebihan iaitu saya dapat mencampur warna sehingga
dapat menghasilkan warna yang kami mahukan. Saya berasa bangga apabila ahli
kumpulan saya mempercayai saya untuk mencampur warna bagi kumpulan kami.
Akhir kata, apabila sampai masa menghantar hasil karya, kami berasa lega
dan sangat gembira apabila Encik Hasnan mengatakan bahawa karya kami ‘unik’ dan
‘lain dari yang lain’. Bagi saya pula, meskipun hasil karya kami mungkin bukan
yang terbaik, tetapi seluruh kemampuan dan usaha kami bertiga sekumpulan telah
kami curahkan dalam menyelesaikan tugasan ini. Sungguh gembira dan memuaskan
rasanya apabila dapat bekerja dengan orang yang sangat proaktif dan senang
bekerjasama seperti Yanson dan Flora di samping mempunyai pensyarah yang sangat
berkaliber. Jujur kata, inilah tugasan yang paling saya suka sepanjang berada
di IPGK Batu Lintang ini. Usai tugasan ini, pandangan saya terhadap dunia seni
visual kian terbuka luas dan ya, jika kita ambil waktu untuk ambil peduli dan
memerhati, seni itu indah dan mengindahkan.
Dan tada!!! Sekadar berkongsi proses penghasilan karya yang disebut-sebut di atas dan karya akhir kami.
|
Panel 2 |
|
Panel 1 |
|
Panel 3 |
|
Panel 4 |
|
Panel 6 |
|
Waiting for it to dry. |
|
Panel 5 |
|
Nampak sukaaa kan? God knows how hard the whole process for an almost retard in visual-spatial skill like this lady here was. sobsss thank God we did it! PtL! |
|
Jimat yne, anang keluar ari garis. ahaha. |
|
My group mate. Meet flora. And owya, Yanson was taking the pics. |
|
Our mess. |
|
Our baby. Yayyy. |