Contoh Refleksi Projek PSV3105 Semester 4, IPGK Batu Lintang

Shalom.

Ni post pertama menggunakan Bahasa Kebangsaan. Yayyy me! Ooops. Haha. So, bagi yang menjumpai kesukaran untuk mencari contoh refleksi dalam Bahasa Kebangsaan, dipersilakan merujuk kalau sudi. Esei ni jauh dari tahap nak layak sebagai sumber rujukan yang boleh di'cite' (apa 'cite' dalam BM ho?) seperti dalam buku-buku tetapi memadai la sebagai bahan bacaan ye tak. hahaha.


Sejuta kesyukuran saya panjatkan kepada Tuhan kerana dengan limpah kurniaNya saya telah berjaya menyiapkan tugasan Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Seni Visual, Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (PSV 3105) bagi semester keempat Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP). Jutaan terima kasih juga saya ucapkan buat Encik Hasnan bin Rambli selaku guru pembimbing yang sentiasa berada di sisi kami sekelas dengan penuh tekun dan minat sepanjang menghasilkan kerja kursus projek PSV kali ini.
Sesungguhnya, dengan tunjuk ajar Encik Hasnan serta ahli kumpulan saya iaitu Yanson Yanjurus dan Flora Umang anak Endang, saya yang dahulunya sememangnya buta seni kini telah dapat menghasilkan karya seni yang boleh saya banggakan di samping menghargai keindahan seni yang terdapat dalam kehidupan. Pengalaman merasai sendiri perasaan tersebut seterusnya mengaplikasikannya dalam kehidupan merupakan sesuatu yang tidak ternilai harganya memandangkan apabila pergi ke sekolah kelak, inilah nilai yang mahu saya patrikan dalam diri anak-anak murid saya. Sekiranya saya sendiri tidak menghargai seni, bagaimana saya hendak mengajar murid-murid akan betapa penting dan indahnya seni dalam kehidupan?
Dari awal penghasilan tugas lagi, sebenarnya saya mengalami masalah besar dalam menghasilkan kerja-kerja yang melibatkan mewarna dalam kajian warna. Antara kelemahan terbesar saya adalah tidak sabar menyiapkan tugasan terutamanya dalam bidang yang kurang saya minat. Oleh yang demikian, hasil kerja saya kelihatan kurang kemas dan kurang cantik dipandang mata. Benarlah menurut teori Kecerdasan Pelbagai (Gardner, 1983) yang menerangkan bahawa manusia mempunyai kecerdasan dominan, kombinasi kecerdasan yang pelbagai dan juga kecerdasan yang paling lemah. Dalam hal ini, saya sedar bahawa kecerdasan visual-spatial saya sangatlah lemah. Tidak hairanlah setiap kali di kelas, saya sentiasa menjadi orang terakhir yang menyiapkan tugasan. Meskipun saya cuba memperbaiki diri sendiri dengan lebih tekun dan teliti ketika mewarna, masih juga hasil kerja saya kelihatan biasa-biasa saja. Walaubagaimanapun, seni itu abstrak. Jadi, meskipun hasil kerja saya kurang elok, namun itulah hasil karya saya sendiri yang saya hasilkan dengan penuh susah-payah. Maka, meskipun saya tidak menyukai karya yang saya hasilkan, sekurang-kurangnya saya masih berbangga dengan usaha yang telah saya curahkan.
Seterusnya, ketika menghasilkan penulisan tentang warna untuk Bab 1 tugasan, antara kesukaran utama yang dihadapi ialah untuk mencari bahan rujukan terutamanya buku-buku mengenai topik yang berkenaan. Meskipun begitu, dengan bimbingan yang teliti daripada Encik Hasnan, saya dapat mengeksplorasi sendiri apakah yang dikatakan dengan jenis-jenis warna, ton warna, gubahan warna (sewarna, kroma, neutral) dan warna-warna harmoni. Hanya sedikit rujukan yang benar-benar diperlukan dalam penghasilan penulisan ini terutamanya yang berkaitan dengan kesan warna atau psikologi warna. Tambahan pula, memandangkan maklumat yang diperlukan berbentuk fakta, sumber internet boleh dieksploitasikan dengan sewajarnya bagi tugasan ini.
Selain daripada itu, tugasan dalam Bab 2 dapat saya siapkan tanpa aral melintang. Gambar-gambar yang saya perolehi merupakan ihsan Google Images dan juga perkongsian daripada rakan sekelas. Di sini, saya ingin melahirkan rasa bangga dan berterima kasih kepada rakan sekelas yang sudi berkongsi gambar-gambar yang mereka perolehi supaya beban tugas masing-masing dapat diringankan. Antara rakan sekelas yang sangat membantu dengan gambar tersebut adalah Ken Liew Chee Keng dengan koleksi gambar karya Wassili-Kandinsky dan Yanson Yanjurus dengan koleksi gambar motif-motif dari Sarawak. Saya pula telah berkongsi koleksi gambar sumber yang berkaitan dengan warna, warna-warni Sarawak dan juga motif-motif ukiran Sarawak juga. Saya berharap dengan menyumbang sedikit sebanyak sebegini, rakan sekelas saya mampu menyelesaikan tugas mereka dengan lebih cepat; sama seperti mereka telah membantu saya.
Setelah melalui peringkat mencari sumber idea dan mengkaji corak-corak yang terdapat dalam etnik-etnik di Sarawak, saya mengusulkan agar kami memilih corak terabai Iban atau warrior shield sebagai sumber motif utama hasil karya kami. Cadangan ini diterima baik oleh ahli kumpulan saya. Hal ini kerana setelah melalui sesi perbincangan dan sedikit penyelidikan, kami dapat menyedari perkaitan antara konsep terabai dan bidang perguruan. Umum mengetahui bahawa pada zaman lampau, kaum Iban merupakan kaum yang sering berperang yang dikatakan sebagai ngayau dalam bahasa Iban. Oleh yang demikian, terabai merupakan salah satu alatan perang yang perlu dimiliki oleh setiap pahlawan. Ciri utama terabai Iban ialah ukirannya yang bersimetri kiri dan kanan diwarnai dengan warna-warna yang biasa digunakan dalam pembuatan kraftangan tradisional di Sarawak seperti kuning, hitam dan merah. Dipercayai kerana kaum Iban pada asalnya menganut animisme, maka ukiran yang paling terkenal ialah antu engkeramba yang dikatakan dapat memberikan perlindungan kepada tuannya di samping dapat menolong dalam peperangan pada suatu ketika dahulu. Ukiran tersebut mempunyai pantang-larang serta tidak boleh diukir sesuka hati. Maka, kami telah mengadaptasi ukiran tersebut ke ukiran yang lebih kontemporari. Apabila kami melihat terabai dari sudut bidang pendidikan, kami merasakan bahawa hidup sebagai seorang guru sama seperti seorang pahlawan Iban yang berperang. Lebih daripada itu, seorang guru berperang setiap hari di bilik kelas, padang permainan, asrama dan di rumah juga apabila beban kerja yang banyak harus disiapkan segera. Seorang guru berperang melawan rasa letih, malas, dan berputus asa demi kesejahteraan tonggak negara pada masa hadapan yakni murid-murid tersayang. Dalam melalui hari-hari sebagai seorang pendidik, guru memerlukan pegangan agama yang kukuh di mana beliau harus percaya akan kewujudan Tuhan yang sentiasa menjaga dan melindunginya sesuai dengan prinsip Rukun Negara. Pegangan inilah yang seumpama terabai dalam kehidupan kita sebagai seorang guru di mana walau apa pun terjadi, kita percaya bahawa Tuhan lebih Mengetahui dan Mengerti dan Dia sentiasa ada.
Ya, idea yang kami fikirkan merupakan idea yang bernas dan unik. Namun begitu, masalah mulai timbul apabila tiba masa untuk merealisasikan idea tersebut ke atas kanvas. Meskipun kami melukis dengan merujuk kepada ukiran yang sedia ada di Google Images, ukiran tersebut kami dapati sangatlah rumit untuk dilukis. Ketika pertemuan pertama kami untuk melukis ukiran di kanvas, kami buntu seketika kerana tidak tahu dari mana kami hendak mula. Rentetan itu, kami pun berbincang dan akhirnya dengan kaedah cuba jaya dan pengubahsaian di mana yang sesuai, ukiran tersebut berjaya juga terpampang di kanvas. Encik Hasnan dengan baik hatinya telah membantu memperhalusi lukisan kami sehingga dapat diterima untuk meneruskan proses selanjutnya. Memandangkan kami telah memilih untuk menggunakan motif ukiran kontemporari, kami bertiga telah sebulat suara juga untuk menggunakan warna-warna kontemporari dalam hasil karya kami. Contohnya, warna-warna pastel, lembut dan tidak terlalu garang. Kami juga telah mendapatkan nasihat Encik Hasnan tentang warna yang patut digunakan dan nampaknya beliau juga sependapat dengan kami meskipun kami tidak memberitahu beliau rancangan kami. Beliau mengatakan bahawa untuk kumpulan kami, adalah digalakkan untuk menambahkan warna putih ke warna-warna yang digunakan supaya mendapat kesan yang berlainan daripada kumpulan lain.
Proses mewarna merupakan proses yang paling sukar bagi saya secara peribadi memandangkan saya memang sangat kurang berbakat dalam bidang seni visual seperti yang telah saya utarakan di atas. Beberapa kali ahli kumpulan saya menegur agar mewarna dengan lebih berhati-hati apabila mereka melihat kanvas menjadi comot dek kerana perbuatan saya hingga pernah suatu ketika saya hampir berputus asa dan membiarkan mereka sahaja yang mewarna. Namun begitu, menyerah kalah bukanlah pegangan saya. Saya turut terus membantu rakan sekumpulan mewarna; kali ini dengan lebih berhati-hati dan cermat demi menjaga hati mereka dan supaya hasil kerja kami kemas dan cantik dipandang. Meskipun sedemikian, dalam menjalani proses ini, saya telah menemui suatu kemahiran saya yang saya kira adalah suatu kelebihan iaitu saya dapat mencampur warna sehingga dapat menghasilkan warna yang kami mahukan. Saya berasa bangga apabila ahli kumpulan saya mempercayai saya untuk mencampur warna bagi kumpulan kami.
Akhir kata, apabila sampai masa menghantar hasil karya, kami berasa lega dan sangat gembira apabila Encik Hasnan mengatakan bahawa karya kami ‘unik’ dan ‘lain dari yang lain’. Bagi saya pula, meskipun hasil karya kami mungkin bukan yang terbaik, tetapi seluruh kemampuan dan usaha kami bertiga sekumpulan telah kami curahkan dalam menyelesaikan tugasan ini. Sungguh gembira dan memuaskan rasanya apabila dapat bekerja dengan orang yang sangat proaktif dan senang bekerjasama seperti Yanson dan Flora di samping mempunyai pensyarah yang sangat berkaliber. Jujur kata, inilah tugasan yang paling saya suka sepanjang berada di IPGK Batu Lintang ini. Usai tugasan ini, pandangan saya terhadap dunia seni visual kian terbuka luas dan ya, jika kita ambil waktu untuk ambil peduli dan memerhati, seni itu indah dan mengindahkan.


Dan tada!!! Sekadar berkongsi proses penghasilan karya yang disebut-sebut di atas dan karya akhir kami.
Panel 2

Panel 1




Panel 3
Panel 4



Panel 6








Waiting for it to dry.
Panel 5



Nampak sukaaa kan? God knows how hard the whole process for an almost retard in visual-spatial skill  like this lady here was. sobsss thank God we did it! PtL!

Jimat yne, anang keluar ari garis. ahaha.

My group mate. Meet flora. And owya, Yanson was taking the pics.


Our mess.


Our baby. Yayyy.

Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hello We are OddThemes, Our name came from the fact that we are UNIQUE. We specialize in designing premium looking fully customizable highly responsive blogger templates. We at OddThemes do carry a philosophy that: Nothing Is Impossible

0 comments

lemme hear ur thoughts :)